Pages

Saturday, 11 January 2014

Hijrah

Assalamualaikum ya akhi ya ukhti. Apa khabar iman kita semua? (: Post kali ni berdasarkan kisah benar daripada pengalaman. Buat mereka yang ingin berhijrah. Sila scroll dan baca sampai habis ye (:


     Dulu saya tak macam ni. Tapi Alhamdulillah, diberikan kurniaan hidayah daripada Yang Maha Penyayang. Daripada kecik, memang saya tak pernah terfikir pun nak menutup aurat dengan sempurna. Apatah lagi dengan keadaan sekolah saya yang sedikit sosial. Bukan apa, sekolah saya tu dia separuh kerajaan-separuh swasta (half-government school) tanah kerajaan tapi sekolah tu pengasas yang punya. Peraturan wajib pakai tudung memang tidak berkuat kuasa pun dekat sekolah. Lagipun sekolah tu sekolah perempuan.

     Tapi saya tahu, tu semua alasan. Sampailah waktu saya sekolah menengah. Sekolah menengah saya pun lebih kurang macam sekolah rendah. Saya pakai tudung pun cuma waktu subjek Pendidikan Islam. Lepas tu, tudung entah ke mana. Allahu… memang jika difikirkan semula, betapa jahilnya saya ketika itu.

     Waktu saya tigkatan 3, saya rapat dengan ustazah yang mengajar saya subjek Pendidikan Islam. Mungkin sebab saling bertegur sapa kalau terjumpa dekat mana-mana. Waktu tu, saya dah pasang niat. Kalau keputusan PMR saya straight A’s, saya nak berhijab. Tapi masalahnya, saya tak terfikir pun nak berhijab sepenuhnya.

     PMR telahpun berlalu… lagi beberapa minggu lagi sebelum keputusan keluar. Segar lagi dalam fikiran saya waktu kejadian pagi raya korban tu. Tiba-tiba waktu tengah dengar takbir raya, dapat panggilan telefon. Mula-mula saya angkat, lepas tu saya pass dekat mak cik saya. Tak lama lepas tu, mak cik saya beristighfar kuat sambil menangis. Rupa-rupanya, sepupu saya baru sahaja meninggal pagi raya tu. Kemalangan. Bayangkan betapa terkejutnya kami sebab seminggu sebelum kemalangan, kami sama-sama keluar berjalan-jalan ke rumah saudara yang lain. Allah lebih mengetahui…

     Memang waktu tu, pertama kali raya korban disambut penuh syahdu. Pagi tu jugak kami terus ke rumah mak long yang terletak di KL. Sampai rumah mak long, suasana syahdu menyelubungi. Setap kali orang datang ucap takziah, setiap kali tu jugaklah mak long menangis hiba. Selesai semuanya, saya bercadang untuk teman mak long saya bersama saudara saya yang lain dalam masa seminggu tu. Masa tu la mak long buka cerita…

     Mak long cakap, arwah sepupu saya dah pasang niat untuk berhijab sepenuhnya. Dia dah beli macam-macam jenis tudung untuk dia pakai pagi raya tu, sampai bila-bila. Sayangnya, tak kesampaian. Waktu saya dengar cerita tu, saya terfikir, macam mana kalau benda yang sama jadi pada saya? Saat itulah hidayah daripadaNya sampai. Terdetik untuk saya terus berhijab.

     Waktu ambik keputusan PMR, tu lah kali pertama saya keluar pakai tudung. Alhamdulillah, ditakdirkan saya mendapat straight A’s. Maka niat yang dulu tu pun terus dilakukan. Memang betul macam apa yang orang kata, nak berhijrah memang susah. Tapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya kan?

     Kawan-kawan sekolah semuanya terkejut dengan perubahan tu. Ada yang menyokong, ada juga yang musykil. Hakikatnya, Allah sahaja yang tahu. Ramai yang ingat waktu tu, saya dah transfer ke asrama, tapi still sekolah situ lagi. Waktu tingkatan 4 tu, sewaktu awal tahun, tudung saya pakai sekejap on, sekejap off. Masih belum sempurna saya kira. Macam yang saya cakap, bukan senang nak berhijrah. Lagi-lagi bila dah besar ni, liat sikit. Waktu saya form 4, saya ambik subjek Tasawwur. Memang banyak input yang saya dapat. Sekali lagi, saya rapat dengan ustazah yang mengajar saya subjek itu. Di sekolah, saya dikenali hampir semua orang kerana jawatan dan aktiviti yang sering saya join. Bukan nak bangga diri, tapi disebabkan orang ramai kenal saya lah saya jadi segan. Yela, junior-junior saya semua hormat saya. Tapi saya tak rasa saya layak dihormati waktu tu dek sikap acuh tak acuh saya dalam bab berhijab. Sampailah ketika saya bertemu dangan kawan-kawan saya yang sampai sekarang masih lagi keep-in-touch dengan saya.

     Alhamdulillah, dapat juga saya biasakan diri untuk berhijab sepenuhnya, tapi masih belum sempurna. Aurat lengan saya masih belum terjaga. Waktu form 5, kawan-kawan saya yang tadi tu lah diorang rajin pakai hand-sock. Comel-comel pulak tu. Saat tu saya dah terdetik, aku bila lagi? Nampak tak, bagaimana dorongan daripada kawan tu ada dua je, antara jalan ke neraka, ataupun jalan ke jannahNya. Allahurabbi…

     Habis je SPM, saya dapat panggilan PLKN. Mula-mula memang berat sikit hati nak pergi, tapi fikir tak semua orang dapat pengalaman tu, baik saya pergi. Lagipun basic yang diajar dalam PLKN saya dah ada sebab waktu sekolah dulu saya aktif ber-KRS. Waktu di PLKN, sekali lagi ditakdirkan saya berkenalan dengan seorang ni yang sangat-sangat menjaga pergaulannya dengan lelaki. Dia boleh dikatakan rapat jugaklah dengan saya waktu dekat kem. Dia rajin pakai stoking kaki. Sekali lagi sya terfikir, saya bila lagi. Sedikit demi sedikit Allah tarik saya mendekatiNya. Mungkin inilah dia hikmahnya saya dipanggil masuk ke PLKN. Waktu tu jugak saya terfikir untuk melabuhkan tudung..


     Saya bersyukur sangat-sangat kerana dikelilingi orang yang rajin memberikan dorongan buat saya. Sedara-mara saya pun jenis yang bertudung sepanjang masa jika berada dengan lelaki ajnabi walaupun orang itu adalah ahli keluarga sendiri (sepupu, abang ipar, dll). Saya pun jadi terpanggil untuk ikut sama. Alhamdulillah, jalan cerita yang ditetapkanNya untuk saya memang indah.

     Kini, saya sedang melanjutkan pelajaran. Serta dalam proses melabuhkan lagi tudung. Bukan nak menunjuk, tapi labuhnya tudung itulah yang akan menjadi peringatan buat saya dalam menjaga akhlak dan tingkah laku. Betul apa yang orang kata, Islam yang lahir daripada pemahaman mata hati yang mendalam lebih bermakna berbanding Islam yang diwarisi daripada keturunan. Waktu sekolah menengah, banyak dah kes yang saya tengok, waktu mula-mula masuk sekolah, dia bertudung, tak lama lepas tu, tudung entah ke mana. Mungkin terkena kejutan budaya dengan keadaan sekolah saya tu. Allahu... 

     Walau apapun, tujuan saya menulis entri ni cuma ingin berkongsi kepada sesiapa yang mungkin berniat untuk bertudung, berhijab sepenuhnya dengan sempurna, tapi masih tercari-cari cahaya petunjukNya. Mudah-mudahan pengalaman saya ni boleh djadikan iktibar bagi sedang berusaha. InshaAllah… Jalan hijrah menuju kebaikan memang pahit kerana nikmat di syurga itu manis. Janji Allah itu pasti. Hidayah dari Allah sentiasa ada. Cuma kita je, antara nak terima dan amalkan ataupun tak. Semoga kita terus dilimpahi hidayah dan petunjuk dariNya. Aminnn..

Wallahua’alam

Masih dalam usaha,

No comments:

Post a Comment